KOTA BHARU | Seramai 180 murid Tahun Enam daripada 21 sekolah di Parlimen Jeli menyertai tuisyen bahasa Inggeris dalam talian yang bermula hari ini.
Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tuisyen anjuran Pusat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli dan Tanah Merah, Majlis Guru Besar Jeli dan Pejabat Ahli Parlimen Jeli itu bermula Jun dan berakhir Oktober akan datang.
Katanya, kelas diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu untuk meningkatkan penguasaan serta kemahiran bertutur bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekali gus dapat menggunakannya sebagai bahasa kedua dalam pertuturan seharian.
“Penumpuan akan diberikan dari sudut tatabahasa dan penulisan. Ini adalah satu kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan bagi melengkapi kelas yang diadakan oleh pihak sekolah.
“Dalam masa sama, satu tinjauan akan diadakan dalam kalangan pelajar bagi mendapatkan maklum balas mengenai PdPR, penggunan peranti seperti telefon pintar atau komputer riba dan liputan internet di kawasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau melancarkan Kelas Tuisyen Bahasa Inggeris secara dalam talian untuk Parlimen Jeli. .
Mustapa berkata, kumpulan pertama seramai 90 murid dari lapan sekolah memulakan kelas hari ini, manakala kumpulan kedua disertai 90 murid dari 13 sekolah akan memulakan esok.
“Ia adalah kesinambungan daripada Tuisyen Darul Falah yang memberi tumpuan khusus kepada penguasaan bahasa Inggeris yang dilaksanakan sejak 1995 dan mempunyai lebih 5,000 alumni,” katanya.
“Usaha untuk meningkatkan liputan internet di Jeli sedang dilaksanakan dan pada Februari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meninjau 13 lokasi yang menghadapi masalah liputan termasuk membina menara komunikasi di Kampung Rabbana, Jeli dan ia sudah siap untuk digunakan.
“Tindakan susulan sedang dilaksanakan oleh SKMM di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA),” katanya.
Beliau berharap kerja menaik taraf infrastruktur bagi meluaskan liputan internet berkualiti dilaksanakan segera dan Jeli akan dijadikan contoh pembangunan digital kawasan luar bandar.