KUALA LUMPUR | PAS menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu yang mengambil perhatian berat terhadap usaha menghadapi pandemik COVID-19 dan menjaga kebajikan rakyat.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan yang diambil oleh Baginda bertemu dengan pemimpin politik dan mendengar taklimat daripada agensi kerajaan, menunjukkan bahawa Baginda amat mengambil perhatian terhadap situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Katanya, ini turut membuktikan Institusi Raja-Raja Melayu jelas menjadi payung kepada seluruh rakyat tanpa mengira kepercayaan agama dan fahaman politik.
“PAS menyanjung tinggi titah pandangan Baginda Tuanku yang menekankan supaya semua pihak mewujudkan suasana tenang dengan mengurangkan politiking supaya kerajaan dan semua pihak dapat memberikan fokus untuk menghadapi wabak ini dan menjaga kebajikan rakyat yang terkesan daripada wabak ini.
“PAS juga menjunjung tinggi titah pandangan Tuanku agar kerajaan segera mengadakan sidang parlimen, mempercepatkan pemberian vaksin serta penting adanya kerajaan yang stabil dan kukuh berfungsi dengan efektif menangani COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Kami melihat perkara ini adalah selaras dengan usaha yang sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, PAS yakin dengan usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan yang telah berjaya memberikan suntikan vaksin COVID-19 secara konsisten melebihi 200,000 dos sehari.
Katanya, ia sebagai kayu ukur dalam mencapai target 80 peratus rakyat divaksin sehingga hujung tahun ini.
“Selaras dengan strategi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, PAS melihat perancangan kerajaan melalui empat fasa yang dikemukakan mampu menguruskan krisis kesihatan dan memulihkan ekonomi negara dengan baik.
“PAS juga meyakini bahawa titah pandangan Baginda Tuanku berkenaan sidang parlimen adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengadakan sidang parlimen sebagaimana juga yang dinyatakan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Ujarnya, keprihatinan Baginda Tuanku dan seluruh Raja-Raja Melayu perlu disambut secara serius oleh seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan Malaysia bebas daripada wabak COVID-19.