Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Sharoul Jambari berkata, mandat diberi bagi melaksana Program Kolaborasi Industri (ICP) itu, dengan strateginya sudah dirangka mengikut tiga keutamaan.
Beliau berkata, strategi pelaksanaan itu mengikut tiga keutamaan iaitu peluang pekerjaan terutama dalam bidang teknikal, kemahiran tinggi dan juga berkepakaran termasuk peningkatan kemahiran (upskilling) dan reskilling pasca COVID-19.
“Seterusnya membangun kapasiti dan keupayaan khususnya melibatkan syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dengan kaedah padanan dan kerjasama strategik bersama pemain global.
“Akhir sekali, kolaborasi bersama inisiatif-inisiatif Kerajaan seperti Program Pembangunan Vendor (PPV), pembangunan teknologi, pengkomersialan dan lain-lain melalui kerjasama strategik dengan pihak berpengalaman,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Sharoul, usaha dirangka itu memerlukan kerjasama erat antara TDA bersama Kementerian dan pemain industri yang lain supaya penumpuan kepentingan bersama dapat dicapai.
Katanya, TDA berharap akan mendapat sokongan Kementerian dan Agensi berkepentingan seperti syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) untuk bersama memperkasa pelaksanaan ICP termasuk aspek perolehan yang mampu memberikan nilai tambah tinggi terhadap pembangunan negara.
Selain itu, katanya TDA juga berharap akan dapat memberi impak termasuk pembangunan modal insan, teknologi, industri, seterusnya merangsang pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negara.
“TDA menyokong usaha Kerajaan melaksanakan Pelan Pemulihan Negara membendung penularan wabak COVID-19 dan berharap rakyat memberi kerjasama supaya pelan pemulihan dirangka ini dapat direalisasikan.
“Usaha melaksana mod bekerja dari rumah (BDR) sepenuhnya oleh kerajaan sejak PKP 3.0 diumum turut disokong selain perluannya ke semua pihak memastikan SOP mencegah COVID-19 di tempat kerja dipatuhi.
“Pelan pemulihan ini dirangka dengan melibatkan empat fasa yang ditentukan oleh tiga indikator dan memerlukan kerjasama seluruh rakyat untuk pastikan pelan pemulihan berjaya direalisasikan sepenuhnya,” jelasnya.