PUTRAJAYA | Biarlah pihak polis menjalankan siasatan dan jangan ada pihak yang membuat andaian untuk mengeruhkan lagi keadaan dalam isu ‘buka sidang Perlimen’.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam sidang medianya hari ini berkata, sesiapa sahaja yang dikaitkan dengan laporan polis semestinya individu tersebut tidak akan terlepas daripada disiasat.
“Saya sudah maklumkan bahawa sesiapa sahaja yang melakukan penghasutan yang boleh menyebabkan sesuatu kurang senang, apabila ada laporan yang dibuat polis akan siasat.
“Biarlah polis yang siasat supaya kita dapat tahu secara menyeluruh apa yang dicakap dan apa penerimaan orang.
“Sesiapa sahaja yang ada laporan polis kita akan membuat siasatan. Kita tidak ada darjat mengenai bab itu,” katanya dalam sidang media sini hari ini.
Dengan memberikan contoh mengenai satu video yang pernah diterimanya, Hamzah berkata, setiap orang mempunyai penerimaan dan tafsiran yang berbeza dalam satu-satu perkara.
Beberapa hari lalu, terdapat laporan polis yang dibuat berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkenaan nasihat kabinet kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tentang kedudukan tempoh darurat.