PASIR MAS | Seorang peniaga lelaki berusia 34 tahun bersama ibu bapanya ditahan susulan penemuan sepucuk pistol jenis Revolver dan lima butir peluru di sebuah rumah di Kampung Pauh, di sini, semalam.
Lelaki berkenaan ditahan bersama kedua ibu bapanya yang masing-masing berusia 61 dan 68 tahun pada jam 9.30 malam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, serbuan dilakukan oleh Pasukan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Pasukan Operasi Risikan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah ke rumah mereka sebelum mengetuk pintu hadapan sebuah rumah.
Katanya, pintu dibuka seorang lelaki dan pemeriksaan dilakukan di dalam serta sekitar kawasan rumah sebelum menemui senjata api pistol jenis Revolver warna perak dan pemegang warna hitam di bahagian belakang rumah.
“Penemuan itu, tiga beranak termasuk bapanya yang juga pesara guru ditahan dan dibawa ke IPD Pasir Mas bersama rampasan bagi tindakan lanjut.
“Hasil soal siasat awal mendapati lelaki berusia 34 tahun yang bekerja sebagai peniaga rokok, beras dan pakaian seludup menafikan pistol angin serta peluru itu miliknya.
“Namun, soal siasat lanjut akan dijalankan sebaik sahaja perintah tahanan reman ke atas suspek diperolehi,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati anak pasangan itu mempunyai 17 rekod kesalahan lampau termasuk berkaitan penyalahgunaan dadah.
Katanya, serbuan itu, polis turut merampas satu komponen senjata api, tiga telefon bimbit dan dua kenderaan masing-masing sebuah kereta Suzuki Swift dan sebuah kenderaan Volkwagen Golf.
Beliau berkata, ibu bapa suspek mungkin tidak terbabit dalam kes itu dan mereka ditahan untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.