TEHRAN | Rekod jaringan antarabangsa milik legenda Iran, Ali Daei bakal dipecahkan Cristiano Ronaldo, mungkin pada Euro 2020.
Lapor AFP, pemain dengan gelaran ‘Shariar’ (Raja Parsi) itu meledak 109 gol dalam 149 penampilan buat Iran antara 1993 hingga 2006, pencapaian yang dirasakan tidak boleh disamakan mana-mana pemain.
Namun Ronaldo pantas merapatkannya, kini meledak 106 gol antarabangsa daripada 176 perlawanan dengan dua gol ketika Portugal menang 3-0 mengatasi Hungary di Budapest Rabu lalu.
Daei yang sudah bersedia menerima perkara itu berkata beberap kali sebelum ini bahawa dia pasti gembira jika Ronaldo memecahkan rekod miliknya ketika dia percaya penyerang Juventus itu adalah antara tiga pemain terbaik dalam sejarah bersama Lionel Messi dan Diego Maradona.
“Rekod dicipta untuk dipecahkan,” kata Ali Daei kepada Khabar Online pada 2018.
“Ronaldo memang ada kualiti untuk melakukannya. Saya sangat menghormatinya. Dia adalah pemain hebat yang tidak perlu menyanyikan lagunya untuk dipuji.”
Usaha Ronaldo mengejar rekod itu sentiasa membuatkan akhbar Iran teruja dengan laporan mengenainya diterbitkan setiap kali pemain berusia 36 tahun itu menghampiri rekod Daei.