LONDON | England hanya sekadar terikat 0-0 menentang Scotland, di sini awal pagi tadi, sekali terlepas peluang untuk menempah awal tempat ke kelompok 16 terakhir Euro 2020.
Kegagalan England itu sekali gus menghidupkan peluang Scotland untuk mara ke pusingan kalah mati jika menang menentang Croatia, Rabu ini.
Lapor AFP, skuad kendalian Gareth Southgate seharusnya menjamin kemaraan ke kelompok 16 terakhir dengan kemenangan kedua Kumpulan D di Wembley.
Bagaimanapun, England sekadar melakukan satu percubaan tepat dengan Scotland mempamerkan aksi lebih mantap dan sepatutnya berakhir dengan kemenangan.
Walaupun keputusan seri itu menyaksikan mereka diejek penyokong sendiri selepas tamat permainan, England sudah mengumpul empat mata dan akan mara ke pusingan seterusnya jika berjaya mengelak kekalahan pada aksi terakhir bertemu Republik Czech Selasa ini.
Scotland, yang beraksi di kejohanan besar pertama mereka sejak Piala Dunia 1998, tampil lebih meyakinkan berbanding ketika kekalahan 2-0 di tangan Republik Czech pada perlawanan pertama.