KUALA LUMPUR | “Tidak sepatutnya seorang yang beriman, disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang (yang sama),” kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) yang lalu telah memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH), kerana ramai tertarik dengan janji yang diucapkan dan ditulis, termasuklah janji yang mustahil dilaksanakan dalam masa yang singkat.
Katanya, bahkan ada juga janji yang dikatakan boleh ditunaikan dalam tempoh yang pendek dalam sehari semalam. Adapun yang tersurat dalam manifesto, masih boleh dibaca semula.
“Apabila tindakan mereka ketika menjadi kerajaan dipersoalkan, semuanya dituding kepada kerajaan yang terdahulu. Apa yang dibisingkan oleh mereka ialah perebutan jawatan Perdana Menteri yang menunjukkan perangai bernafsu yang rakus, sifat yang diharamkan oleh Rasulullah.
“Rasulullah SAW meminta kepada orang yang beriman supaya bersikap bijak dalam menghadapi cabaran, khususnya daripada lawan ataupun musuh dan juga sesiapa sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, lebih membahayakan umat dan negara, apabila terdapat dalam kalangan mereka yang sedia bersekongkol dengan sesiapa sahaja, termasuklah musuh agama, umat dan negara sehingga sanggup bersama dengan golongan yang nyata bersikap ekstrem terhadap Islam, umat dan raja.
“Kita menerima kewujudan masyarakat majmuk yang menyedari kedudukan mereka sebenar, bahkan boleh bekerjasama dengan baik berkonsepkan adil terhadap semua dan diberikan hak beragama tanpa sebarang paksaan.
“Apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah konsep yang boleh menghadapi perubahan secara positif, bahkan sudah berlaku beberapa perubahan pada hari ini.
“Hanya beberapa hari kerajaan PH berkuasa, sudah terserlah sikap mereka yang melampau terhadap Islam dan kepimpinannya, sedangkan ia suatu perkara yang wajib dipertahankan dengan perintah Allah SWT,” katanya.
Abdul Hadi berkata, kepada generasi muda yang tidak menyaksikan peristiwa lalu, janganlah mudah terpengaruh dengan media tanpa sempadan yang akan membawa penyesalan di dunia dan akhirat.
Katanya, cukuplah perkara besar itu menjadi pengajaran dan jangan ditipu untuk kali kedua laksana disengat daripada lubang yang sama dan haram bersama dengan musuh agama dan umat, sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi.