By Ismail Muhamad
GUA MUSANG | Seramai 200 pengusaha sayur dan bunga di Tanah Tinggi Lojing di sini, terpaksa membuang sebanyak 60 peratus hasil tanaman membabitkan 150 metrik tan sehari sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Kampung Raja, Cameron Highlands.
Perkara itu didedahkan oleh Persatuan Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing yang memaklumkan hasil tinjauan penanam sayur membabitkan kerugian RM150,000 hingga RM300,000 sehari.
Tinjauan di satu lokasi tempat pembuangan sampah menemukan timbunan sayur antaranya jenis tomato, kobis dan terung dipercayai dibuang oleh penanam kerana tidak dapat menjual hasil berkenaan.
Sepertimana keadaan sebelum ini di satu laluan di Lojing, puluhan kilogram sayur antaranya tomato, terung dan cili dibuang.
Malah di lokasi kedua yang lainnya mendapati lebih banyak timbunan sayur dibuang begitu sahaja.



Hasil tanaman itu masih segar dilihat dalam puluhan guni yang ditinggalkan terbiar sekali gus menimbulkan tanda tanya mengapa pembaziran itu berlaku dan apakah masalah di kalangan penanam sayur berkenaan.
Pengusaha sayur, Pang Chan Chau berkata, sehari sebanyak empat hingga lima metrik tan sayuran seperti tomato, terung dibuang begitu sahaja.
Katanya, sayur tidak boleh didermakan ke lokasi jauh kerana kekangan kos penghantaran serta sekatan oleh pihak berkuasa ketika PKPD.
Seorang lagi pengusaha sayur, Ng Lian Heng berkata, pembuangan sayur tidak dapat dielakkan dan ia dilakukan memang merugikan mereka.
“Ada satu kali tu enam tan sayur kena dibuang. Kalau dua hari lagi tak boleh jual kena buang lah.
“Macam hari ni ada lima tan kalau simpan esok lusa tak boleh jual lah sebab sayur kurang elok,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing, Yusup Abdul Rahman yang ditemui di kawasan penanaman sayur berkata, hasil keluaran Tanah Tinggi Lojing lazimnya dihantar ke pusat pengumpulan di stor Kampung Raja Cameron Highlands untuk pengagihan ke pasar di seluruh negara tidak dapat dijalankan kerana kekangan PKPD sejak seminggu lalu.
Menurutnya, sebahagian sayur tidak dapat dipasarkan ekoran kekangan tiada pusat pengumpulan di sebelah Lojing.
“Setiap hari pengusaha terpaksa melupuskan tomato, terung, lobak, sawi, salad, kailan dan pelbagai sayur lain di tempat buangan di tepi kebun dan stor.
“Pembuangan juga terpaksa dilakukan kerana pekerja majoriti warga asing menetap di Tanah Rata, Cameron Highlands dihadkan bekerja di ladang di Lojing di sini, sehingga jam 2 petang,”.katanya.
Pembuangan sebelum ini lazimnya pada waktu petang selepas lori dari Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Kedah penuh dan kembali ke destinasi membawa sayur dari kawasan itu.
Bagaimanapun, kegiatan pembuangan sayur ini dijangka berkurangan ekoran kebenaran dari Kementerian Pertanian dan industri Makanan membenarkan pergerakan lori dari Lojing, di sini, untuk masuk ke Kampung Raja, Cameron Highlands dari jam 8.pagi hingga 8 malam sejak semalam.
Kebenaran memasuki kawasan PKPD Kampung Raja itu membolehkan sayur dihasilkan di Lojing disimpan di gudang di Cameron Highlands sebelum diagihkan ke lokasi biasa di seluruh negara sekali gus mengelakkan pembaziran hasil tanaman itu. – JOURNAL MALAYSIA