MOSCOW | Sekurang-kurangnya tujuh penerjun payung terbunuh, manakala 12 lagi cedera selepas pesawat L-410 enjin berkembar terhempas.
Lapor Media Russia, pesawat berkenaan ditemui terhempas dalam hutan di wilayah Kemerovo di barat daya Siberia.
Agensi berita TASS, yang memetik sumber perkhidmatan kecemasan, berkata sekurang-kurangnya 12 orang cedera dalam nahas berhampiran lapangan terbang Tanay itu.
Menurut pejabat pendakwa tempatan, pesawat berkenaan menghantar isyarat kecemasan mengenai kerosakan enjin.
Disyorkan Untuk Anda
Jurucakap agensi penerbangan awam Russia cawangan Siberia, Rosaviatsia, berkata operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, bagaimanapun enggan memberikan butiran lanjut.
Gabenor Kemerovo, Sergei Tsivilyov, berkata beliau difahamkan pesawat itu membawa 19 orang dan tujuh disahkan maut, seorang parah manakala 11 yang lain cedera.
TASS melaporkan, lapangan terbang Tanay menempatkan sebuah pusat payung terjun dan sering dikunjungi penerjun payung amatur.
Pusat berkenaan adalah milik Persatuan Sukarelawan Bantuan Tentera, Tentera Udara dan Tentera Laut Russia, yang didaftarkan sebagai pertubuhan sukan dan pertahanan.
Pengarah pertubuhan cawangan itu di Kemerovo, Viktor Shemokhanov, memberitahu TASS bahawa pesawat itu tidak bermasalah.
“Malah, ia sudah melakukan empat penerbangan pada hari berkenaan dan berada dalam keadaan baik,” katanya.