TUMPAT | Sepasukan Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan merampas 450 liter minyak petrol dengan nilai RM922.50 di Pengkalan Haram Dock, Pengkalan Kubor di sini, semalam.
Operasi bersepadu itu dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Pasukan Polis Marin itu turut menyita sebuah kereta Proton Saga bernilai RM5,000.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Negeri Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM 5922.50.
Katanya, semasa rondaan dan pemantauan dijalankan di pengkalan haram, pasukan mendapat maklumat terdapat aktiviti penyeludupan dan telah mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan berada di tebing sungai.
“Pemilik kenderaan tersebut yang menyedari kehadiran pasukan telah melarikan diri dari tempat kejadian.
“Pemeriksaan mendapati terdapat barang kawalan yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran dan kenderaan itu turut diisi dengan tong plastik berisi minyak petrol sebanyak 18 tong yang berada di tempat duduk penumpang yang diubahsuai bagi membawa muatan dengan banyak,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.