MUNICH | Jerman kembali dengan harapan untuk mara ke pusingan kalah mati selepas berjaya menewaskan Portugal 4-2 dalam aksi Kumpulan F Euro 2020, pagi ini.
Lapor AFP, Jerman kini berkongsi tiga mata dengan Portugal dalam kumpulan itu sekali gus masing-masing bergantung perlawanan akhir sebelum dapat mara ke kelompok 16 terakhir.
Pada perlawanan itu, Cristiano Ronaldo meletakkan Portugal di depan di Allianz Arena, Munich, tetapi gol sendiri daripada Ruben Dias dan Raphael Guerreiro memberi kelebihan kepada Jerman.
Kai Havertz dan Robin Gosens kemudiannya menjadikan kedudukan 4-1 untuk babak kedua.
Diogo Jota bagaimanapun menambah jaringan untuk Portugal.
Ini adalah kali pertama Portugal bolos dengan jaringan empat gol selepas tewas 4-0 kepada Jerman di Piala Dunia 2014.
Portugal akan berdepan Perancis dalam perlawanan terakhir mereka, manakala Jerman pula akan menentang Hungary.