BUDAPEST | Perancis masih mendahului Kumpulan F Euro 2020 walaupun sekadar seri 1-1 menentang Hungary, malam tadi.
Lapor AFP, Jaringan pemain penyerang, Antoine Griezmann menyelamatkan Perancis daripada diaibkan Hungary selepas kubu skuadnya diancam pada awal permainan dengan jaringan pendahuluan dari Attila Fiola pada masa tambahan babak pertama.
Bagaimanapun, Griezmann, pemenang Kasut Emas Euro 2016 menyamakan kedudukan pada minit ke-66 ketika persembahan Perancis tampak tidak menyakinkan bagi mengelakkan kekalahan dalam perlawanan kompetitif sejak Jun 2019.
Pasukan Didier Deschamps menerajui kumpulan dengan empat mata, di atas juara bertahan, Portugal yang akan menentang Jerman di Munich sebentar nanti.
Hungary mengutip mata pertama mereka pada kejohanan kali ini, manakala Jerman di kedudukan terbawah selepas tewas kepada Perancis dalam aksi pembukaan sebelum ini.
Perancis akan berada di Budapest untuk perlawanan terakhir menentang Portugal, manakala Hungary bertandang ke Munich untuk bertemu Jerman, yang masih berharap untuk layak ke peringkat pusingan kalah mati.
Perlawanan itu berlangsung dalam keadaan cuaca sekitar 30 darjah selsius dengan lebih 60,000 penyokong di Puskas Arena, satu-satunya gelanggang tunggal Euro 2020 yang tidak mengenakan larangan akibat wabak COVID-19.