By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Kelantan memerlukan sebuah Kompleks Agro Bazar di Tanah Tinggi Lojing yang mampu menguruskan pengumpulan, pemprosesan dan pengagihan sayur ke seluruh negara.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pekebun Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing, Yusup Abd Rahman berkata, kompleks itu dicadangkan dibangunkan di kawasan seluas empat hektar di tanah tinggi itu yang merupakan laluan strategik pemasaran produk sayur ke pantai barat dan tempatan.
Katanya, cadangan itu dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pada tahun lalu dan difahamkan beberapa kajian berkaitan dilakukan bagi tujuan berkenaan tetapi setakat ini belum ada keputusan mengenai perkara itu.
Menurutnya, sudah sampai masanya bagi Kelantan dibina sebuah pusat pengumpulan, pemprosesan dan pengagihan sayur seperti di beberapa negeri lain.
“Saya ingin menyambut baik langkah kerajaan Kelantan yang akan meneliti cadangan persatuan itu berhubung pembinaan sebuah kompleks agro bazar di Tanah Tinggi Lojing.
“Kelantan memerlukan kompleks berkenaan memandangkan pengeluaran sayur di Lojing adalah sebanyak 380 metrik tan sehari iaitu tiga kali ganda lebih tinggi dari Cameron Highlands,” katanya pada sidang media di pejabat Persatuan Pekebun Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing di sini, hari ini.
Kerajaan negeri Kelantan akan meneliti cadangan Persatuan Pengusaha Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing yang mahu sebuah pusat pengumpulan hasil pertanian dibina dalam kawasan Tanah Tinggi Lojing sebagai prasarana untuk mengumpul serta pembungkusan lebih teratur di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob hari ini dilapor sebagai berkata pihaknya akan meneliti lokasi yang dicadangkan dan kesesuaian oleh persatuan berkenaan di kawasan Lojing untuk manfaat penanam sayur di negeri itu.
Mengulas lanjut, Yusup berkata, pusat atau kompleks yang dijangka menelan kos sebanyak RM30 juta itu akan menjadi nadi baru kepada pengusaha sayur di Kelantan dan mampu menggerakkan sektor pertanian di kawasan Tanah Tinggi Lojing.
Beliau berkata, seramai 200 penanam sayur yang menjadi ahli persatuan itu terbabit dalam penanaman sayur di kawasan seluas 160 hektar di Tanah Tinggi Lojing.
Katanya, kemasukan pengusaha dan penanam daripada Cameron Highlands di Tanah Tinggi Lojing turut melonjak pengeluaran hasil pertanian itu secara besar dan memerlukan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pengagihan untuk pasaran setempat dan pantai barat.
“Pada masa ini sayur yang dikeluarkan dari Tanah Tinggi Lojing dihantar ke Cameron Highlands kerana Kelantan tidak ada kemudahan pusat atau kompleks bagi menguruskan pengumpulan, pemproseaan dan pengedaran sayur.
“Sebab itu persatuan berjuang supaya pusat atau kompleks pengumpulan dan pangagihan sayur perlu dibina di Tanah Tinggi Lojing, ” katanya.
Katanya, seminggu lalu sebagai contoh sebanyak 60 peratus hasil tanaman sayur diusahakan ahli persatuan itu di Tanah Tinggi Lojing terpaksa dilupuskan kerana kekangan pergerakan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Raja, Cameron Highlands.
“Kita akui kekangan PKPD itu menyebabkan agihan sayur dari Lojing terpaksa dilakukan di tepi jalan dan kesannya banyak sayur tidak dapat dihantar ke Cameron Highlands sekali gus memberikan kerugian sebanyak RM400,000 sehari kepada ahli persatuan itu.
“Bagaimanapun, hal itu dianggap selesai selepas kekangan berkenaan diatasi pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, ” katanya yang berterima kasih kepada kerajaan dalam menangani masalah dihadapi pengusaha sayur dari Lojing. – JOURNAL MALAYSIA