KUALA LUMPUR | Kementerian Pendidikan Malaysia membuka peluang untuk pengambilan khas guru secara ‘one-off’ seramai 18,702 yang dibuka pada 7 Julai ini.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia bagi
menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri.
Beliau berkata, permohonan pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 itu, akan dibuka bermula 7 Julai untuk membolehkan pendidik ditempatkan secara berperingkat di sekolah masing-masing bermula Oktober depan.
“Pengambilan guru secara ‘one-off’ dan besar-besaran itu bertujuan menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri.
“Ia juga bagi menjamin pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar ketika pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media secara maya, mengenai pengambilan khas itu hari ini.
Menurutnya, negeri yang berdepan dengan kekurangan guru adalah Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.
Beliau berkata, pengambilan khas dibuat hasil perbincangan secara menyeluruh dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
“Cabaran utama dalam pengambilan guru adalah kekurangan calon kelulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran.
“KPM perlukan sejumlah guru untuk mata pelajaran tertentu, tapi guru yang ada untuk subjek itu
amat terhad. Sebaliknya, bekalan untuk mata pelajaran yang mana opsyennya telah penuh, mungkin lebih ramai.
“Dan disebabkan ketidakpadanan ini, jadi wujud keadaan sukar bagi KPM mengambil guru baru untuk memenuhi kekosongan yang ada,” katanya.
Antara subjek dengan kekurangan guru yang tinggi di sekolah rendah ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, manakala di sekolah menengah ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.
Tamat.