PASIR MAS | Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 5,520 botol pewangi ketiak dalam serbuan di Kampung Pak Atah Jeram Perdah di sini, semalam.
Dalam serbuan jam 7.45 pagi itu, polis turut menahan dua lelaki berusia 27 tahun.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pewangi ketiak dan sebuah kereta Proton Waja yang dirampas dengan nilai keseluruhan RM59,680.
“Rampasan itu dijalankan oleh anggota Balai Polis Jeram Perdah yang menahan sebuah kereta Proton Waja yang dalam keadaan mencurigakan.
“Polis memperkenalkan diri dan hasil pemeriksaan tubuh badan kedua-dua lelaki itu tidak menemui apa-apa barang yang salah.
“Hasil pemeriksaan dalam kereta menemui 230 kotak warna coklat dengan setiap satu kotak mengandungi 24 unit pewangi ketiak yang disyaki diseludup dari negara jiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, barang itu dirampas dan anggaran nilai kereta Proton Waja RM10,000 dan pewangi ketiak RM49,680 dengan jumlah keseluruhan RM59,680.
Katanya, dua lelaki itu bersama kenderaan dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk pemeriksaan lanjut. Barang yang dirampas akan dirujuk kepada pihak farmasi.
“Tangkapan dan rampasan dilakukan di bawah Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya.