PASIR PEKAN | Kerajaan negeri memberi keyakinan bahawa semua rakyat negeri ini akan selesai menerima suntikan vaksin menerusi Program outreach Vaksinasi COVID-19 pada pengujung Oktober ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata pihaknya sudah mendapatkan persetujuan dengan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) mengenai perkara itu susulan kebimbangan bencana banjir akan melanda Pantai Timur menjelang musim tengkujuh ini.
Beliau berkata, persiapan lengkap sudah mencukupi terutama fasiliti dan sumber manusia supaya program vaksinasi itu akan diselesaikan waktu yang ditetapkan berkenaan.
“Tambahan pula, kesanggupan pihak MOSTI membekalkan 550,000 dos vaksin pada bulan depan kepada Kelantan menambah lagi keyakinan bahawa semua rakyat akan selesai menerima suntikan vaksin akir Oktober nanti.
“Program vaksinasi ini akan diberikan keutamaan di kawasan yang pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan warga emas.
“Kita akan melakukan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Kelantan, Pejabat Parlimen dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bekalan makanan seperti beras, telur dan bahan mentahh kepada penduduk di Kutan, di sini yang dikenakan PKPD sejak 11 Jun lalu sehingga 24 Jun ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Media sebelum ini melaporkan Kelantan disasar mencapai imuniti kelompok membabitkan 1.2 juta rakyat di negeri itu pada Oktober ini, susulan pembekalan 550,000 dos vaksin bulan depan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata setakat ini 42 peratus rakyat di negeri itu sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, di Parlimen Tumpat, program vaksinasi ini akan mula dilaksanakan bulan depan.
“Kita sudah susun Program outreach Vaksinasi COVID-19 yang mana kita akan memberi keutamaan kepada penduduk di kawasan Pasir Pekan dan Kutan terlebih dahulu. Kita akan membuat program ini di masjid seperti Masjid Kutan, Masjid Pasir Pekan, Masjid Morak serta Masjid Paloh.