KOTA BHARU | Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 75 ahlinya sebagai bantuan untuk meringankan beban ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh (SPP).
Pengerusi Kemudi, Shahnun Hanif Abdullah berkata, wang tunai yang diberikan antara RM150 hingga RM300 setiap seorang.
Katanya, ia berikutan Kemudi tidak dapat melaksanakan pelbagai program yang biasa dijalankan kepada ahli seperti sukan, riadah, lawatan, kursus dan latihan ketika ini.
“Wang tunai berkenaan dikumpulkan oleh kelab sebelum ini hasil sumbangan daripada pelbagai pihak dan disumbangkan kepada ahli yang turut terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Ada juga dalam kalangan ahli sebelum ini disahkan positif Covid-19 dan kontak rapat dengan pesakit sehingga perlu menjalani tempoh kuarantin di rumah.
“Ahli yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sebelum ini terkesan apabila tidak bekerja,” katanya ketika ditemui di pejabat New Straits Times Press (NSTP) di sini, hari ini.
Beliau berkata, sumbangan itu bagi menghargai jasa semua ahli Kemudi sebagai petugas media yang terus bekerja mencari bahan berita tidak kira waktu.
“Saya berharap wang sumbangan itu akan memberi semangat kepada ahli untuk bekerja dalam masa yang sama meringankan beban kewangan masing masing.
“Kita harap ahli Kemudi terus bersatu dan patuh Prosedur Operasi Stanard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dengan memakai pelitup muka, menjaga penjarakan sosial dan memakai cecair sanitasi tangan ketika bertugas,” katanya.