By Ismail Muhamad
GUA MUSANG | Seramai 300 daripada lebih 2,000 Orang Asli dari suku Temiar di Tanah Tinggi Lojing mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid 19.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Kampung Orang Asli Pos Hendrop, Kamal Rami berkata, masyarakat berkenaan berharap kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Kelantan dapat memberi penerangan kepada mereka mengenai kepentingan suntikan vaksin.
Katanya, langkah itu dapat membantu masyarakat Orang Asli dalam memahani kepentingan vaksin Covid 19 sekali gus mampu meningkatkan kesedaran untuk mendaftar bagi suntikan berkenaan.
“Segelintir masyarakat Orang Asli memahami mengenai kepentingan vaksin Covid 19 sedangkan ramai di kalangan mereka bekerja di ladang sayur dan mereka ini perlu diberi kefahaman jelas untuk mendaftar MySejahtera bagi mendapatkan suntikan itu.
“Masyarakat Orang Asli bukan takut tetapi apa yang saya tahu mereka kurang faham mengenai kepentingan vaksin Covid 19.
“Kita harap pihak kerajaan dapat masuk ke kampung memberi penerangan berkaitan kepentingan vaksin,” katanya di perkampungan Orang Asli Pos Tuel, di sini.
Beliau yang mewakili semua Tok Batin dan Penghulu Orang Asli tidak mahu masyarakat berkenaan di kawasan Lojing ketinggalan dalam menerima suntikan vaksin Covid 19.
Menurutnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat kerana prihatin dan memberi keutamaan menyediakan suntikan vaksin kepada masyarakat di kawasan pedalaman termasuk Orang Asli.
Katanya, pengumuman bekalan vaksin CanSino oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin kepada masyarakat Orang Asli di penempatan mereka di hulu negeri ini disambut baik oleh penduduk berkenaan.
Sementara itu, wakil penduduk Pos Tuel, Mariah Angah berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif itu dan berharap semua masyarakat Orang Asli mendaftar untuk suntikan vaksin Covid 19.
“Kita sama-sama mencegah penularan Covid 19 supaya negara kita bebas daripada virus berkenaan, ” katanya.
Seorang lagi penduduk Pos Tuel, Ahmad Angah berkata, dia tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan suntikan vaksin
“Memang nak cocok bila ada program suntikan vaksin Covid 19 di perkampungan kami, ” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan bakal membekalkan vaksin CanSino kepada rakyat di kawasan pedalaman termasuk ke penempatan Orang Asli di hulu negeri ini yang dijangka bekalan berkenaan diterima bulan depan.
Pemberian vaksin CanSino hanya membabitkan satu suntikan dos sahaja. – JOURNAL MALAYSIA