ROM | Memenangi trofi lebih penting buat jurulatih Itali, Roberto Mancini berbanding mencipta rekod dengan skuad The Azzurri yang kini melebarkan rekod tanpa kalah kepada 30 perlawanan selepas menewaskan Wales 1-0 dalam saingan Euro 2020.
Lapor AFP, Itali memenangi 25 perlawanan dan seri lima kali sejak September 2018, sekali gus menyamai rekod dipegang jurulatih yang memenangi trofi Piala Dunia sebanyak dua kali, Vittorio Pozzo antara 1935 hingga 1939.
“Ia sesuatu yang positif dapat menyamai rekod legenda seperti Pozzo. Namun, dia mempunyai trofi yang lebih penting berbanding rekod tanpa kalah 30 perlawanan.
“Kami gembira kerana semua pemain bermain dengan baik dan membuat pertukaran lapan pemain pada permulaan permainan, ia bukanlah sesuatu yang perlu dilakukan.
“Saya tetap akan melakukan perubahan biarpun ia perlawanan yang penting, saya perlu kekuatan baru dalam pasukan. Kami perlu memberikan minit permainan kepada pemain.
“Kami ada 26 pemain, kami perlu memastikan mereka mendapat minit permainan. Sama ada ia akan menyukarkan saya untuk membuat pilihan pemain, jawapannya ya.
“Ramai pemain yang sudah biasa bermain dalam perlawanan besar, ia sesuatu yang rugi jika mengetepikan mereka. Namun, apa yang paling penting kami boleh mempertaruhkan kepercayaan ke atas ramai pemain,” kata Mancini.
Wales turut layak ke pusingan 16 terbaik Euro 2020 sebagai naib juara Kumpulan A biarpun tewas dalam perlawanan itu.
Jaringan Matteo Pessina di sini, menyaksikan Itali akan berdepan naib juara Kumpulan C di pusingan seterusnya manakala Wales bertemu pasukan tangga kedua Kumpulan B.
Tamat