KOTA BHARU | Bermula esok, pesakit yang disahkan positif menerusi ujian Real-Time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sahaja yang akan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kelantan.
Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, ujian itu diguna pakai memandangkan kes di negeri ini semakin menurun.
Katanya, penggunaan RT-PCR diputuskan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) negeri.
“Disebabkan kes positif COVID-19 Kelantan menurun, jadi kita memutuskan negeri ini boleh melaksanakan pengesahan melalui RT-PCR kepada kesemua pesakit.
“Kecuali di beberapa kawasan yang tidak boleh menggunakan RT-PCR dan masih mengguna Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) yang membabitkan ada kluster yang ditentukan oleh CPRC negeri dengan persetujuan CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata ketika melawat PKRC Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan (JKKN) Tanjong Chat, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.
Pada perkembangan yang lain, Dr Mohd Zurairie berkata, penurunan kes Covid-19 di Kelantan menyebabkan pesakit di PKRC menurun kepada 979 orang.