KUALA LUMPUR | Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyeru pihak industri berdaftar dengan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bagi menjayakan imuniti kelompok.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jika cepat pelaksanaan itu, maka cepat juga negara akan kembali kepada kehidupan biasa, namun dengan norma baharu.
Katanya, PIKAS diperkenalkan khusus kepada pekerja di bawah sektor pembuatan yang bermula pada 16 Jun lalu.
“Bagi PIKAS, saya menyasarkan seramai 2 juta pekerja sektor pembuatan akan mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya September ini.
“Untuk merealisasikan perkara ini, ianya juga bergantung kepada bekalan vaksin termasuk tenaga kerja dari segi bilangan doktor dan pasukan kesihatan yang ditempat di PPV PIKAS.
“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah memberi jaminan kita akan menerima lebih banyak dos vaksin pada Ogos nanti,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, melihat kepada data-data KKM, pihaknya maklum kluster baharu sekarang kebanyakannya dari tempat kerja.
Katanya, mungkin ada yang menyoal kenapa sesetengah sektor itu dibenarkan beroperasi sedangkan sekarang negara di bawah perintah ‘total lockdown’.
“Keputusan membenarkan sektor pembuatan dibuka kerana ianya adalah sebahagian daripada rantaian bekalan produk dan perkhidmatan yang perlu termasuk untuk menyokong kelancaran fungsi infrastruktur seperti penjagaan kesihatan awam.
“Namun, bagi syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan MITI, pihak kami tidak teragak-agak untuk memberi kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.