By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Persatuan Pekebun Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing (PPSBL) sedia mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung cadangan supaya Kompleks Agro Bazar dibina di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang.
Timbalan Pengerusi PPSBL, Yusup Abd Rahman berkata, pihaknya bersedia bila-bila masa untuk berbincang dengan kerajaan negeri sekiranya diminta berbuat demikian bagi memberi pandangan berhubung cadangan itu.
Beliau berkata, pembinaan kompleks itu akan berfungsi sebagai pusat pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran sayur dari Tanah Tinggi Lojing untuk pasaran setempat dan luar Kelantan.
“PPSBL menyambut baik langkah kerajaan negeri untuk meneliti cadangan daripada persatuan itu supaya dibina sebuah kompleks bagi menguruskan pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran sayur dari kawasan Tanah Tinggi Lojing.
“Kesediaan kerajaan negeri memberi perhatian dan meneliti cadangan itu diharap dapat membuka langkah terbaik bagi membantu pengusaha dan penanam sayur di Tanah Tinggi Lojing,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Semalam, kerajaan negeri Kerajaan akan meneliti cadangan PPSBL yang mahu sebuah pusat pengumpulan hasil pertanian dibina dalam kawasan Tanah Tinggi lojing sebagai prasarana untuk mengumpul serta pembungkusan lebih teratur di negeri itu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilapor sebagai berkata pihaknya akan meneliti lokasi yang dicadangkan dan kesesuaian oleh persatuan berkenaan di kawasan Lojing untuk manfaat penanam sayur di negeri itu.
Yusup berkata, lambakan sayur di Lojing yang dihadapi oleh pengusaha dan penanam sayur sebelum ini boleh diatasi apabila Kelantan mempunyai pusat sendiri bagi menguruskan pengumpulan, pemprosesan dan pengagihan sayur dari kawasan tanah tinggi itu.
Menurutnya, pada masa sekarang, sayur yang dihasilkan dari Tanah Tinggi Lojing dihantar ke Kampung Raja, Cameron Highlands.
Katanya, sebagai contoh, sejak seminggu lalu sebanyak 60 peratus hasil sayur yang diusahakan ahli PPSBL terpaksa dilupuskan membabitkan 200 metrik tan sehari dengan nilai kerugian sehingga RM400,000 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Raja, Cameron Highlands.
“Walaupun kekangan itu sudah diatasi oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, saya berpendapat Kelantan perlu mempunyai pusat sendiri pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran sayur di kawasan Tanah Tinggi Lojing.
“Kedudukan kawasan Tanah Tinggi Lojing yang strategik amat sesuai untuk dibina kompleks berkenaan kerana dapat membantu pengusaha sayur menguruskan pemasaran hasil pertanian dari negeri ini untuk pasaran setempat dan luar Kelantan,” katanya. – JOURNAL MALAYSIA