Pulau Pinang | Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Tan Teik Cheng, mengumumkan bahawa lima buah feri ikonik lama Pulau Pinang akan diserahkan kepada syarikat yang berkelayakan untuk diubah suai.
Beliau berkata, syarikat-syarikat yang berkelayakan ini akan mengubahsuai feri-feri ikonik tersebut kepada sebuah muzium terapung, dua buah feri pelancongan dan dua buah restoran terapung.
Katanya, SPPP telah membuka tender permintaan untuk cadangan (RFP) bermula dari 29 Januari hingga 18 Mac lalu.
“Banyak cadangan telah diterim dan setelah dinilai oleh beberapa jawatankuasa SPPP, Mesyuarat Lembaga Pengarah SPPP pada pertengahan bulan Jun telah meluluskan syarikat yang berkelayakan untuk mengubahsuai dan mengendali 5 feri ikonik.
“SPPP dan syarikat yang berjaya akan menandatangani kontrak untuk tempoh selama 10 tahun dengan opsyen disambung selama lima tahun lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, oleh kerana wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), SPPP juga menubuhkan satu pasukan khas untuk membantu syarikat-syarikat yang berkelayakan.
Katanya, sekira PKP memasuki fasa kedua, SPPP akan mengadakan majlis penyerahan feri-feri berkenaan pada 1 Julai.
“Upacara penyerahan akan diadakan secara dalam talian jika PKP tidak ditamatkan. Syarikat-syarikat yang berkelayakan diberi tempoh tiga hingga enam bulan untuk memperbaiki dan mengubahsuai feri-feri ikonik ini sebelum beroperasi.
“Misi utama SPPP sekarang adalah memastikan lima buah feri ikonik ini terus muncul di perairan Pulau Pinang. Saya percaya feri-feri ini akan menjadi produk pelancongan yang penting dan tempat percutian menarik di Pulau Pinang.
Ini akan mendorong sektor pelancongan Pulau Pinang dan merangsang ekonomi Pulau Pinang,” katanya.