By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memang sudah bersetuju lebih awal supaya sidang Parlimen diadakan.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) BERSATU dua minggu lebih awal daripada keluarnya kenyataan media daripada Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, parti itu menyatakan persetujuan supaya kerajaan boleh mengadakan sidang Parlimen.
“Kita bincang dan bersetuju untuk diadakan sidang Parlimen dalam mesyuarat MKT BERSATU iaitu dua minggu sebelum keluarnya kenyataan daripada Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
“Cumanya kita serah kepada kebijaksanaan Kabinet menentukan bila tarikh sidang Parlimen itu diadakan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menjelaskan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa sidang Parlimen memang boleh diadakan tetapi cuma perlu memperhalusi bila tarikh untuk mengadakan persidangan itu.
Katanya, tuduhan pihak diluar sana bahawa kerajaan tidak mahu mengadakan sidang Parlimen adalah tidak tepat.
“Isu tuduhan diluar sana ialah kita yang tak mahu sidang Parlimen, itu tidak tepat.
“Dalam mesyuarat MKT BERSATU, kita setuju diadakan sidang Parlimen cumanya kita serah kepada kebijaksanaan kabinet bila tarikh kerana kita tidak terlalu arif tata cara dan peruntukan Perlembagaan berkenaan sidang Parlimen, ” katanya. – JOURNAL MALAYSIA