TANGKAK | Elaun atau sagu hati untuk sukarelawan kesihatan yang terbabit dalam proses vaksinasi dan pengurusan COVID-19 di negara ini dinaikkan kepada RM100 sehari, mulai bulan ini.
Memetik Berita Harian, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata seramai 19,000 sukarelawan kesihatan dijangka menerima sagu hati ini dengan implikasi kewangan tambahan berjumlah RM180 juta.
“Hari ini saya mengumumkan kerajaan bersetuju bayaran sagu hati kepada sukarelawan kesihatan ditingkatkan daripada RM50 sehari kepada RM100 sehari.
“Ia membabitkan sukarelawan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula bulan ini.
“Selain itu, bayaran sagu hati ini turut diperluaskan kepada sukarelawan kesihatan yang bertugas di lapangan, selain dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah (PKRC),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau PPV Dewan Muafakat Bukit Gambir, di sini, hari ini.