PRAGUE | Hasrat sekumpulan penyokong Croatia yang mahu bersorak buat pasukan mereka secara langsung di Stadium Hampden Park, Glasgow berakhir dengan hanya mampu menonton perlawanan menerusi skrin gergasi di Prague.
Lapor Agensi, penyokong berkenaan mengambil keputusan menyewa pesawat persendirian ke Scotland untuk memberi sokongan moral ketika bertemu Republik Czech dalam aksi kedua, Sabtu lalu.
Ia berikutan selepas melihat Croatia kalah 0-1 kepada England dalam perlawanan sulung Kumpulan D, sebelum itu.
Sebastian Jagic Njare bersama abangnya, Simo dan rakan-rakan mereka, Domagoj Raljevic serta Luka Vojvodic memutuskan perlawanan itu ‘wajib’ ditonton.
Selepas mendapatkan tiket perlawanan, mereka kemudian memutuskan untuk menempah jet peribadi dan berlepas dari Lapangan Terbang Zemun pada sebelah pagi hari perlawanan.
Bagaimanapun, selepas mengharungi perjalanan yang lancar semuanya berubah sebaik saja mereka tiba di destinasi dituju.
“Kami sudah memiliki tiket dan tak sabar hendak menonton perlawanan. Kami menyewa pesawat peribadi daripada sebuah syarikat Republik Czech pada harga diskaun. Sudah tentu kami bersetuju kerana kami membawa pasangan masing-masing.
“Sebaik saja tiba di Scotland, juruterbang memberitahu bahawa dia diarah meninggalkan ruang udara. Disebabkan pandemik Covid-19, pesawat tidak dibenarkan mendarat.
“Wow, ia sangat mengecewakan! Pertama, kami tidak dapat menonton perlawanan dan kedua, sudah tentu kami akan pulang dengan rasa malu! Siapa mahu menonton perlawanan dari Zadar atau Zemunik? (bandar di Croatia).
“Akhirnya, dalam pesawat kami memutuskan lebih baik jika juruterbang meminta izin untuk memasuki Republik Czech. Mujur kami mendapat kebenaran dan akhirnya menonton di Prague. Ia memang tidak dilupakan,” kata Njare.
Croatia dan Czech seri 1-1 dalam perlawanan itu.
Tamat