KUALA LUMPUR | Kes sporadik dan kes tidak bergejala COVID-19 di Lembah Klang terus meningkat iaitu di Selangor sebanyak 151,725 kes dan Kuala Lumpur 44,517 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peratusan kes sporadik di Selangor sebanyak 38 peratus dan Kuala Lumpur 11.2 peratus.
Katanya, Sarawak mencatatkan 40,889 kes atau 10.3 peratus.
“Dari 1 Januari hingga 19 Jun lalu, Minggu Epidemiologi (ME) Malaysia telah merekodkan sebanyak 578,105 kes COVID-19.
“Daripada jumlah itu sebanyak 398,846 kes atau 69 peratus adalah kes sporadik atau kes yang dikesan di dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada.
“Kes sporadik ini dikesan melalui saringan di tempat kerja, saringan dalam komuniti, atau saringan kes bergejala,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.
Beliau berkata, lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes sporadik itu tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dengan betul.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menyeru masyarakat untuk terus konsisten dalam mematuhi SOP dan mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri sebagai salah satu langkah mendepani peningkatan kes sporadik dan kes COVID-19 tidak bergejala khususnya di kawasan sesak dan berisiko tinggi,” katanya.