SANDAKAN | PAS Sabah menggerakkan Tabung Bencana Covid-19 melalui kawasan bagi membantu rakyat yang terjejas ekoran pandemik yang turut mengancam ekonomi.
Lapor HarakahDaily, Pengerusi Sekretariat Tabung Bencana Covid-19, Sahar Abdul Majid berkata tabung kebajikan itu telah dilancarkan sejak 15 Jun lalu dan dikelolakan oleh sebuah sekretariat di peringkat negeri bagi penyelarasannya.
Beliau berkata bahawa usaha yang dibuat itu adalah sebagai bukti keprihatinan PAS Sabah terhadap rakyat yang terhimpit dalam suasana sekarang.
“Kita mengambil tanggungjawab yang berat ini bagi menzahirkan kesungguhan dan kebersamaan PAS terhadap segala usaha yang telah dibuat kerajaan dan sokongan terhadap masyarakat yang terjejas.
“Sasaran kita untuk membantu seramai mungkin golongan yang terjejas seperti golongan B40, peniaga kecil, pekerja buruh, ibu tunggal dan lain-lain bergantung kepada dana yang kita kumpul,” tambahnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri.
Sehubungan itu, Sahar dalam kesempatan berkenaan merayu seluruh warga Sabah yang berkemampuan untuk menghulurkan sumbangan bagi menjayakan usaha murni itu.
Katanya, sumbangan boleh disalurkan kepada tabung-tabung yang dikelolakan oleh PAS kawasan-kawasan di seluruh parlimen dalam negeri ini.
Tamat