KUALA LUMPUR | Dua penghantar makanan telah ditahan polis dipercayai terlibat kes pergaduhan membabitkan pemandu lori di di Jalan Persiaran Setia Perdana, Setia Alam semalam.
Ketua Polis Daerah Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pada jam 5.30 petang pada hari kejadian telah berlaku kemalangan jalan raya melibatkan seorang penunggang motosikal penghantar makanan dengan sebuah lori sehingga menyebabkan pergaduhan.
Menurutnya, kejadian melibatkan sekumpulan lelaki berkenaan telah viral di media sosial dan trafik cawangan IPD Shah Alam juga telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Setakat ini, dua tangkapan telah dibuat yang merupakan penghantar makanan dan dipercayai terlibat dalam kes ini. Usaha untuk mengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Kamar Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera bagi mendapatkan keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
Tambahnya, bagi kesalahan kemalangan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih daripasa RM10,000 dan juga dipenjara tidak lebih 12 bulan.
“Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarang tindakan secara melulu dalam apa jua situasi yang boleh menyebabkan pelanggaran undang-undang.
“Semua pihak turut dinasihatkan agar tidak mengambil sebarang kesempatan di dalam isu ini bagi menjaga kesejahteraan awam khususnya masyarakat Shah Alam,” katanya.