By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Rakyat perlu segera membuat pendaftaran vaksin Covid 19 bagi mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok yang disasarkan kerajaan sebanyak 80 peratus.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, rakyat jangan mengambil sikap tunggu dan lihat dalam menyahut seruan kerajaan mendapatkan vaksin Covid 19.
“Kita kena war-war kan lebih lagi supaya rakyat dapat melakukan pendaftaran segera vaksin Covid 19 supaya ia mencapai tahap imuniti kelompok yang disasarkan kerajaan.
“Sikap hanya tengok dan lihat orang lain buat pendaftaran dan suntikan vaksin terlebih dahulu tidak sepatutnya berlaku sebaliknya kita semua perlu kena ada tanggungjawab untuk mendaftar dengan segera,” katanya ketika di temui di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin sasaran untuk mencapai imuniti kelompok di negara ini akan dapat dicapai sebelum akhir tahun ini.
Menurut Mohamed Farid yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Bahru, tahap pendaftaran vaksin bagi negeri ini hanya mencapai tahap 50 peratus berbanding peringkat nasional sebanyak 70 peratus.
Beliau berkata, bagi daerah ini sebanyak 40 peratus pendaftaran vaksin dan pihaknya turut membantu orang ramai dengan membantu secara manual.
Katanya, suntikan vaksin digerakkan secara meluas oleh kerajaan dengan nembuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan program secara bergerak (Outreach) bagi memberi kemudahan kepada orang ramai berusia 18 tahun ke atas mendapatkan suntikan berkenaan.
“Jadi tidak ada sebab rakyat beralasan untuk tidak mendaftar vaksin Covid 19 kerana banyak kemudahan disediakan kerajaan termasuk menyegerakan temu janji dan proses pendaftaran turut dipermudahkan termasuk secara manual dan aplikasi MySejahtera.
“Kita harap PPV di negeri ini akan dipenuhi dengan orang ramai untuk datang suntik vaksin Covid 19,” katanya. – JOURNAL MALAYSIA