KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet angkat berat paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin di atas pencapaian cemerlangnya memecahkan rekod dunia acara powerlifting.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan Bonnie Bunyau Gustin sekali gus melakar sejarah baru buat sukan angkat berat negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Bonnie, 22, memecah rekod dunia dengan angkatan seberat 230 kilogram menewaskan atlet dari China, Peng Yu (214kg) dan atlet dari Nigeria, Nnamdi Innocent (213kg).
Kejayaan Bonnie memecah rekod dunia yang selama ini dipegang atlet dari Iran, Roohallah Rostami, merupakan kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada beliau untuk meneruskan buruan pingat di kejohanan akan datang.
Pencapaian cemerlang atlet kelahiran Kuching, Sarawak ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa. Ianya juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.
Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Bonnie Bunyau Gustin turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di Malaysia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.
Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Bonnie dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama di kejohanan-kejohanan mendatang.
“Syabas dan tahniah,” menurut catatan Facebook Istana Negara.
Tamat.