KOTA BHARU | “Alhamdulillah, Kelantan mencatatkan penurunan kes kepada dua digit (81 kes) pada hari ini.
“Sama-sama kita teruskan berusaha dan berikhtiar bagi memutuskan rantaian penularan,” kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Beliau berkata demikian menerusi laman Facebooknya di sini, hari ini.
Ahmad berkata, demikian apabila kes COVID-19 di Kelantan hari ini dengan jumlah dua angka berikutan sudah lebih dua bulan negeri ini mencatatkan kes tiga angka sehingga ada yang hampir mencecah 1,000 kes sehari.
Dalam tempoh dua minggu ini juga kes di Kelantan di antara lebih 100 sehingga mencecah 400 kes.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin memaklumkan tiada kluster baharu yang dicatatkan di Kelantan hari ini.
“Kita masih belum selamat. Disiplin diri dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk kebaikan bersama,” katanya.