KOTA BHARU | Pendaftaran vaksin di Kelantan meningkat apabila hampir 50 peratus daripada jumlah yang layak menerima vaksin sudah berdaftar melalui pelbagai cara termasuk aplikasi MySejahtera dan Program Outreach Vaksinansi COVID-19.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sehingga semalam seramai 603,289 orang sudah berdaftar daripada 1.2 juta yang layak.
Katanya, peningkatan ini disebabkan ramai penduduk yang mula sedar kepentingan vaksin COVID-19.
“Selain itu, kejayaan program outreach di kawasan kampung dan pedalaman juga menjadi faktor peningkatan pendaftaran vaksin di kalangan rakyat Kelantan.
“Peningkatan pendaftaran vaksin juga kerana kesedaran penduduk dan usaha pelbagai pihak untuk memastikan individu yang layak berdaftar.
“Sehingga semalam juga, lebih 285,000 dos vaksin yang diterima oleh rakyat di negeri ini iaitu 196,784 bagi dos pertama atau 15 peratus dan 88,376 dos kedua iaitu enam peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Dr Zaini turut menerima sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) dari Penjara Kelantan untuk petugas barisan hadapan.
Hadir sama, Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali dan Pengarah Jabatan Penjara Kelantan, Mat Yaacob.