KUALA LUMPUR | Tiada kata dapat diungkapkan buat ‘unsung heroes’ yang selama ini bertungkus lumus menyelamatkan mangsa insiden tren LRT baru-baru ini, selain ucapan jutaan terima kasih buat mereka.
Itulah yang diluahkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong menerusi facebook rasminya kepada ‘unsung heroes’ di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang turut mendapat lebih 800 tanda suka.
Ka Siong berkata, semoga semua pesakit sembuh sepenuhnya secepat mungkin.
“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada “unsung heroes” dari HKL yang diketuai oleh Dr Azmi Alias kerana menyelamatkan dan merawat semua mangsa yang tercedera.
“Tiada perkataan atau ayat yang dapat saya lafazkan kecuali ‘terima kasih dan thank you’ . Hanya Tuhan yang dapat membalas jasa anda semua.
“Malam tadi dan pagi ini, saya telah menghubungi keluarga kepada empat orang penumpang yang cedera parah dalam insiden perlanggaran tren LRT Laluan Kelana Jaya pada 24 Mei yang lalu,” tulis beliau.
Menurutnya, semalam pesakit wanita berusia 31 tahun telah dibenarkan discaj dan merupakan pesakit terakhir yang dibenarkan pulang oleh HKL.
“Dia dan akan meneruskan rawatan rehabilitasi, pemeriksaan dan susulan yang telah diatur oleh pakar-pakar perubatan HKL,” katanya.
Tambahnya, Khamis lalu,pesakit lelaki berusia 52 tahun yang juga cedera parah dalam insiden tersebut telah dibenarkan pulang ke rumah dan kini mula menerima rawatan rehabilitasi disusuli dengan rawatan susulan.
Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan otak yang agak parah dan mereka telah diselamatkan oleh pakar-pakar perubatan dan pembedahan HKL.
“Dalam perbualan semalam, keluarga mereka menzahirkan ucapan tidak terhingga kepada Dr (Mr) Azmi Alias, Ketua Jabatan Neurosurgery HKL yang mengetuai pasukan pakar HKL dalam menjalankan pembedahan otak dua orang pesakit tersebut.
“Saya turut menelefon keluarga kepada seorang lagi pesakit wanita berusia 26 tahun yang kini berehat di rumahnya di Parit Buntar Perak dan kini dalam proses pemulihan,” katanya.
Sementara itu, katanya, seorang lagi pesakit wanita yang dipindahkan dari HKL ke sebuah Pusat Perubatan swasta di Damansara untuk pembedahan bahagian rahang kini juga berehat di rumah dan keadaannya beransur pulih serta menjalani sesi fisioterapi.