KOTA BHARU | Bagi meringankan beban masyarakat di daerah ini yang terkesan dengan pandemik COVID-19, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kota Bharu menyerahkan lebih 2,000 bakul makanan kepada penduduk.
Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, bakul makanan itu diserahkan untuk membantu masyarakat yang memerlukan.
Katanya, setakat ini lebih 2,000 bakul makanan yang terdiri daripada barangan keperluan harian termasuk beras, gula, minyak masak dan tepung gandum diberi kepada penduduk
“Pemberian bakul makanan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ketika negara berdepan pandemik COVID-19 sehingga ada yang hilang pekerjaan. Kita mahu membantu semua penduduk terutama mereka yang terkesan.
“Program ini akan dilakukan secara berterusan dan ini adalah komitmen kita untuk meringankan beban serta memberi sinar harapan kepada mereka yang memerlukan.
“BERSATU Kota Bharu juga sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat supaya mereka dapat meneruskan kehidupan walaupun berdepan pandemik COVID-19,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Malaysia berkata, dalam masa terdekat sebanyak 300 bakul makanan lagi yang akan diagihkan kepada penduduk.
Jelas beliau, bakul makanan itu turut diberikan kepada warga pendidik yang perlu diisolasi selepas menjadi kontak rapat kepada pesakit positif COVID-19.
Katanya, selain itu, BERSATU Bahagian Kota Bharu juga bersama-sama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berbincang cara yang baik untuk memulihkan ekonomi negeri.