GUA MUSANG | Lebih 1,000 penduduk Kampung Batu Enam di sini, meminta jambatan baru lebih kukuh dibina melintasi Sungai Galas setelah ia runtuh dua kali dalam tempoh dua tahun.
Penduduk di kawasan tersebut mahukan ia dibina segera bagi kemudahan pelajar dan penduduk kampung untuk menjual hasil kebun dan ladang merentasi sungai berkenaan setiap hari.
Seorang wakil penduduk Kampung Batu Enam, Radzi Ismail berkata jambatan itu runtuh kali kedua April lalu akibat banjir kilat sehingga menyebabkan struktur dalam pembinaan itu dihanyutkan arus deras.
Menurutnya, jambatan baharu itu sudah dinanti hampir setahun lalu kerana jambatan lamanya musnah disebabkan musibah banjir akhir tahun lalu.
“Jambatan yang dibina dah nak siap, tapi hampir nak Raya baru-baru ni dilanda banjir kilat dan roboh sebab tiang yang dibina tidak begitu tinggi.
“Jadi saya minta kerajaan cepatkanlah sikit pembinaan sebab jambatan ini menjadi laluan utama kami untuk keluar masuk dan juga digunakan oleh penduduk Limau Kasturi,” katanya.
Akibatnya penduduk di sana terpaksa berulang alik menggunakan jambatan keretapi yang merbahaya dan tidak sesuai digunakan kerana tiada pagar keselamatan mengelilinginya.
Sementara itu, seorang penduduk lain, Norli Adnan meminta pembinaan jambatan baharu dipercepatkan memandangkan dia sering sakit akibat menghidap kanser darah.
“Saya menghidap kanser darah dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital. Jadi saya terpaksa bawa anak yang masih kecil bersama.
Berhubung perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Ab Aziz Yusof berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi membina jambatan sementara baru bakal dibina tahun ini.
“Kita telah mengambil tindakan, Pejabat Tanah telah membuat laporan kepada Pejabat Pembangunan Negeri dan satu mesyuarat dengan JKR dibuat.
“Satu keputusan dicapai yang mana jambatan ini kena dibina semula dalam struktur berbeza agar tak berlaku lagi runtuhan dan peruntukan telah ada untuk dibina jambatan sementara,” katanya.
Katanya, pihaknya meminta agar kerajaan membuat perancangan bagi membina jambatan kekal bagi memastikan tidak berlaku lagi runtuhan pada masa depan.
“Reka bentuk jambatan yang baharu nanti akan dibuat bersesuaian bagi memudahkan pengaliran arus sungai dan sisa kayu yang hanyut tidak tersangkut,” katanya.
Beliau juga berharap agensi berkaitan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atau Kementerian Pembangunan Luar Bandar dapat meneruskan projek jambatan itu bagi kemudahan perhubungan penduduk Kampung Batu Enam dan Batu Lima.