KOTA BHARU | Bermula Jumaat ini, Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin di Kelantan akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu.
Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berikutan peningkatan kes dalam tempoh yang singkat di kawasan terbabit.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi semasa kes COVID-19 yang mana ujian saringan dibuat ke atas 63 penduduk di lokaliti tersebut dan 41 daripadanya dikesan positif COVID-19 dengan kadar positiviti 65 peratus.
“Pada masa sama, KKM mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPDdi Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin berkuat kuasa 25 Jun sehingga 8 Julai 2021,” katanya.
Katanya, pelaksanaan PKPD adalah memudahkan KKM melakukan saringan, menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti
tersebut.
Kelmarin KKM mengisytiharkan tiga kluster baharu di Kelantan termasuk Kluster Pulau Tukang Dollah.
Kes indeks bagi kluster itu merupakan kes nombor 497343 merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 28 tahun.
Mangsa dilaporkan positif pada 21 Mei lalu hasil saringan individu bergejala bermula 17 Mei lalu.
Journal Malaysia mendoakan semoga kesemua penduduk yang dijangkiti sembuh dengan segera dan semua urusan mengawal virus COVID-19 dipermudahkan.