By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Kerajaan diminta memberi lebih perhatian terhadap sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menyumbang sebanyak 40 peratus kepada ekonomi negara.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, sektor PKS yang memberi sumbangan begitu besar kepada ekonomi negara dapat digerakkan secepat mungkin.
“Sektor yang paling utama adalah PKS iaitu menyumbang 40 peratus daripada sekitar RM1.2 trilion setahun kepada ekonomi negara.
“PKS ini pula bilangan pekerja dalam sektor itu adalah terbesar iaitu membabitkan 7.3 juta atau lebih 50 peratus,” katanya kepada Journal Malaysia di sini.
Mohamed Farid berkata, sektor PKS diberi perhatian dan banyak disentuh dalam mesyuarat yang diadakan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada minggu lalu.
Menurutnya, ini kerana apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berakhir, sejumlah besar PKS yang terlibat boleh terus bergerak menyumbang kepada ekonomi negara.
Beliau berkata, PKS ini ada tiga jenis, satunya PKS mikro iaitu kumpulan yang sangat besar kepada kegiatan ekonomi negara.
Katanya, kerajaan sudah bersetuju dalam pakej PEMERKASA Tambahan atau Plus, akan memberikan sebanyak RM1,000 kepada setiap PKS berkenaan.
“Keduanya, PKS kecil dan juga sederhana iaitu dua sektor yang perlu sentuhan yang lebih besar sebab banyak sentuhan untuk sektor PKS ini adalah Program Subsidi Upah (PSU).
“Pakej PSU ini supaya elak mereka daripada dibuang kerja, ini adalah satu polisi pakej yang cukup bagus.
“Pada pandangan peribadi saya ia bersifat defensif. Tapi bila kita buka ekonomi kita perlu attack kita nak different pakej suntikan modal pusingan supaya bisnes boleh berkembang dan mampu tampung pekerja,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu berkata, apa yang penting sekarang adalah harus mencapai satu tahap dimana kadar kematian akibat pandemik Covid 19 menurun dengan drastik pada tahap kosong.
Katanya, pada masa sekarang kadar kematian di negara ini masih tinggi dan memerlukan usaha supaya berada pada tahap kosong seterusnya aktiviti ekonomi boleh digerakkan sepenuhnya.
“Apabila kita berada pada keadaan tersebut maknanya semua lapisan ekonomi boleh bergerak dengan sepenuhnya
“Kta boleh beri penekanan supaya sektor-sektor ini dibaikpulih yang boleh memberi sumbangan kepada ekonomi negara,” katanya. – JOURNAL MALAYSIA