PELABUHAN KLANG | Program vaksinasi COVID-19 khas untuk pelaut-pelaut warganegara Malaysia dan pekerja-pekerja sektor pelabuhan khususnya di sekitar Lembah Klang akan dilaksanakan bermula Jumaat ini.
Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dengan kerjasama JLM dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).
Menurut kenyataan itu, sasaran program adalah para pelaut aktif yang berada di sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.
“Pelaksanaan program vaksinasi yang bakal bermula pada 25 Jun ini, merupakan simbolik penghargaan kepada khidmat bakti pelaut sempena sambutan Hari Pelaut Sedunia 2021.
“Program yang dijangka akan berlangsung selama enam minggu di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Serbaguna Kelab Sosial dan Rekreasi LPK (PPV Sektor Maritim Klang) di Pelabuhan Klang ini adalah tertakluk sepenuhnya ke atas kuantiti vaksin dan kapasiti tenaga kerja yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV),” katanya.
Kenyataan memaklumkan setakat ini, JLM telah menerima senarai butiran pelaut daripada syarikat-syarikat perkapalan tempatan melalui Malaysia Shipowners’ Association (MASA) khusus bagi program itu.
“Pelaut yang telah mendapat pengesahan serta janji temu adalah amat disarankan untuk hadir dan mematuhi SOP di PPV.
“JLM dengan kolaborasi MOT dan JKJAV akan merangka pelaksanaan program-program khas vaksinasi pelaut susulan daripada program ini,” katanya.