KOTA BHARU | Seramai 25 anggota termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang akan berkawal di empat laluan keluar masuk ke kampung Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin, di Pengkalan Chepa.
Kampung itu akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam ini sehingga 8 Julai depan.
Timbalan Ketua polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, anggota berkenaan akan berkawal dalam tempoh 24 jam.
Katanya, satu daripada empat laluan akan diletakkan kawat berduri.
“Seramai 866 penduduk di lokasi itu membabitkan 188 rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin, di sini, hari ini.
Media semalam melaporkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan ke atas 63 orang penduduk di lokaliti Kampung Pulau Tukang Dollah dan 41 daripadanya dikesan positif COVID-19 dengan kadar positiviti 65 peratus.