KUALA LUMPUR | Kerajaan sentiasa memastikan setiap keperluan penduduk di lapan lokaliti di Labuan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar mencukupi.
Sehubungan itu, pada pagi ini sebanyak 2,500 bakul makanan asas untuk penduduk di Labuan diterbangkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kementerianya bekerjasama dengan TUDM untuk menerbangkan tambahan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas di kawasan terbabit.
“Hari ini kita menghantar 2,500 bakul makanan dan hasil mesyuarat bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan juga Perbadanan Labuan kami diminta untuk menghantar 14 ribu bakul makanan.
“Pada hari pertama Kementerian Wilayah Persekutuan telah menghantar bakul makanan dan hari ini kita melengkapi apa yang telahpun dihantar oleh Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan penerbangan bakul makanan hari ini.
Rina berkata, 2,500 bakul makanan yang dihantar hari ini akan diagihkan kepada 2,500 keluarga dan 500 kotak lagi akan dihantar menerusi laut pada Sabtu ini.
“Ini antara usaha yang dijalankan oleh kerajaan dan saya berharap penduduk di Labuan yang ramai terkesan ini dapat bersabar.
“Kita akan terus membantu sedaya upaya agar mereka mendapat manfaat daripada bakul yang diberikan ini…Bantuan akan mengikut kepada keperluan semasa,” katanya.
Dalam masa sama, Rina memberitahu Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyelaraskan sekiranya terdapat permintaan khusus, seperti susu bayi, lampin pakai buang dan sebagainya untuk penduduk di sana.
Katanya, dalam membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 pihaknya akan meneruskan dan sentiasa berkerjasama dengan semua pihak.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada TUDM kerana bakul makanan ini diterbangkan menerusi penerbangan ihsan TUDM, dan ini bukan kali pertama kementerian berkerjasama dan TUDM banyak membantu menerbangkan bakul makanan di Sabah dan juga Sarawak,” katanya.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan melaksanakan sekatan pergerakan (lockdown) bersasar di lapan lokaliti di wilayah persekutuan itu berkuat kuasa 15 hingga 28 Jun 2021 selepas mengenal pasti kesemua lokaliti itu sebagai lokasi panas COVID-19.