KOTA BHARU | Sebanyak 496 kompaun termasuk kepada individu dan syarikat yang melakukan pelbagai kesalahan ketika pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) dikeluarkan Polis Diraja Malaysia.
Timbalan Ketua polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, kompaun itu dikeluarkan dari 1 Jun lalu sehingga semalam.
Katanya, kompaun itu dikeluarkan membabitkan jumlah kompaun antara RM1,500 sehingga RM20,000.
“Kompaun itu dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan iaitu merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran sebanyak 204 kes; gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan 69 kes dan tiada penjarakan fizikal 31 kes.
“Kesalahan lain yang dikompaun iaitu
tidak memakai pelitup muka sebanyak 110, aktiviti terlarang 39 kes; keluar rumah tanpa alasan munasabah 25 kes; premis beroperasi lebih masa tanpa kebenaran 12 kes dan membawa penumpang berlebihan enam kes.
“Kompaun yang dikeluarkan di antara RM1,500 hingga RM20,000 iaitu hasil operasi secara bersepadu dengan agensi lain termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin, Pengkalan Chepa yang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam ini sehingga 8 Julai ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).