KOTA BHARU | Bagi meningkatkan kadar vaksin di Kelantan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
Bahagian Kota Bharu membantu mendaftar vaksin penduduk di daerah ini.
Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, pejabat BERSATU juga membantu orang ramai untuk daftar vaksin.
Katanya, orang ramai yang mahu berdaftar boleh hadir ke pejabat BERSATU atau dengan wakil pemimpin di negeri ini.
“Saya menyeru semua masyarakat tampil untuk mendaftar vaksin termasuk di aplikasi MySejahtera.
“Bagi anak-anak, mereka perlu memujuk ibu bapa masing-masing supaya mendaftar vaksin untuk menyahut seruan kerajaan.
“Ianya untuk membantu negara ini bagi mencapai imuniti kelompok yang dijangka dapat dicapai pada akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia berkata, pelbagai usaha yang dilakukan oleh
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memastikan sasaran imuniti kelompok itu dapat dicapai.
“Kita lihat Ogos ini, dijangka kadar vaksin akan meningkat sebanyak 400,000 dos sehari dan meningkat 600,000 dos sehari. Pada masa ini lebih 200,000 dos vaksin sehari yang dapat dicapai oleh negara kita.
“Ini menunjukkan kerajaan amat prihatin kepada rakyat dan sangat terbuka apabila memberi vaksin secara menyeluruh dan fleksibel.
“Pelbagai program dilakukan kerajaan termasuk masuk dari satu kampung dan kampung lain bagi merancakkan lagi pemberian vaksin di seluruh negara,” katanya.