BUDAPEST | Jaringan pertama Karim Benzema bersama Perancis sejak 2015 membuatkan pemain itu gembira ketika menetang Portugal walaupun terdapat ‘sedikit tekanan’ untuk pasukan itu.
Lapor AFP, penyerang Real Madrid itu kembali dipanggil oleh jurulatih, Didier Deschamps untuk Kejuaraan Eropah 2020 selepas diketepikan hampir enam tahun daripada aksi antarabangsa susulan tuduhannya merancang plot ugutan.
Benzema gagal menjaringkan sebarang gol dalam empat aksi selepas dipanggil semula Perancis yang berjaya merangkul Piala Dunia meskipun tanpa khidmatnya sebelum ini.
Namun, dia menyempurnakan sepakan penalti pada aksi terakhir Kumpulan F itu, sebelum menambah satu lagi gol untuk menamatkan penantiannya.
“Kegembiraan yang teramat sangat dan juga rasa bangga,” katanya kepada BeIN Sports.
“Saya rasa semua orang menunggunya. Ada sedikit tekanan daripada seluruh negara, tetapi saya adalah pemain bola sepak profesional dan perlukan tekanan seperti itu.”
Keputusan 2-2 yang dilakar Les Bleus, meletakkan mereka sebagai juara kumpulan dan akan bertemu Switzerland di pusingan 16 terbaik, minggu depan.
“Dia (Benzema) memang menantikan gol itu. Dia tidak hilang keyakinan, begitu juga saya,” kata Deschamps kepada TF1.
“Kami akan berehat seketika dan kemudiannya bersedia untuk bertemu Switzerland sebaik mungkin.