SAINT PETERSBURG | Sukar buat Poland untuk menelan pahit tersingkir daripada saingan peringkat kumpulan di Euro 2020 selepas tewas 3-2 dengan Sweden, kata Robert Lewandowski.
Lapor AFP, Poland yang memerlukan kemenangan untuk mara ke pusingan 16 terbaik, bangkit selepas ketinggalan dua gol dengan Lewandowski meledak dua gol dalam perlawanan Kumpulan E itu di sini.
Namun, jaringan kemenangan Viktor Claesson pada minit ke-94 meranapkan harapan Poland yang secara tidak langsung menyingkirkan mereka daripada saingan peringkat kumpulan, satu keputusan yang pernah dirasai negara itu di Piala Dunia 2018.
“Sudah tentu ia mengecewakan. Tersingkir daripada kejohanan ini adalah satu kerugian besar buat kami. Sukar untuk kami menerimanya,” kata Lewandowski.
“Kamu tidak boleh katakan yang kami tidak mempunyai semangat juang, keinginan atau cita-cita, namun seperti ada sesuatu yang hilang, kemampuan untuk memenangi perlawanan ini untuk terus bermain.
“Apapun, tahniah kepada pemain pasukan ini kerana mencuba, cuba untuk bertarung. Ia belum mencukupi.”