BUDAPEST | Dua penalti yang disempurnakan Cristiano Ronaldo membantu Portugal mara sebagai satu daripada empat pasukan ketiga terbaik ke pusingan kalah mati selepas mengikat Perancis 2-2 pada aksi di Budapest, pagi tadi.
Lapor AFP, juara bertahan itu akan berdepan pasukan nombor satu dunia, Belgium pada aksi peringkat kalah mati di Seville, pagi Isnin ini.
Anak buah Fernando Santos itu mara bagi dua kempen berturut-turut di belakang Perancis dan Jerman yang hanya layak menerusi keputusan dramatik 2-2 menentang Hungary di Munich.
Ronaldo meletakkan pasukannya di depan hanya selepas setengah jam permainan menerusi sepakan penalti pertamanya, sebelum Perancis bangkit meledak dua gol menerusi Karim Benzema.
Namun, ketika Portugal tampak akan tersingkir memandangkan Hungary pada ketika itu mendahului Jerman, Ronaldo memenangi penalti untuk Portugal yang disudahkan olehnya ketika permainan berbaki 30 minit.
Gol kelima oleh penyerang Juventus itu di peringkat kumpulan membolehkan dia menghimpun 14 gol di Kejuaraan Eropah dan menyamai rekod pencapaian jaringan antarabangsa milik penyerang Iran, Ali Daei.
Perancis yang juga juara dunia akan berdepan Switzerland di Budapest, minggu depan.