BUDAPEST | Cristiano Ronaldo dibaling botol minuman Coca-Cola dan cawan minuman daripada penonton yang mencerobohi padang selepas meraikan jaringan penalti keduanya, ketika Portugal terikat 2-2 dengan Perancis, pagi tadi.
Lapor AFP, berikutan itu, pegawai keselamatan terpaksa mengawal wira Portugal itu daripada pencerobohan padang berkenaan.
Pegawai keselamatan di sini, kemudian campur tangan bagi meleraikan situasi selepas seorang penonton menceroboh padang ketika Ronaldo terus berwaspada selepas melihat balingan botol ke arahnya.
Insiden itu berlaku seminggu selepas penyerang Juventus berkenaan mengalih dua botol Coca-Cola, sebelum sesi sidang media yang mencetuskan kontroversi terhadap penajaan.
Namun, selepas pemain Perancis, Paul Pogba mengekori jejak Ronaldo dengan mengalihkan botol minuman keras, UEFA memberi amaran kepada pasukan untuk tidak menghalang produk penaja.
Ronaldo dilihat mengusap belakang tengkuknya selepas dibaling cawan minuman itu.
Bekas pemain Real Madrid dan Manchester United itu mempunyai alasan untuk menikmati jaringan berkenaan.
Jaringan itu meletakkan dirinya untuk melepasi rekod dilakukan bekas penyerang Jerman, Miroslav Klose dalam kejohanan besar dengan 19 gol.
Pencapaian itu juga menjadikan Ronaldo menyamai rekod pemain Iran, Ali Daei dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman di peringkat antarabangsa.