KOTA BHARU | Dewan Pemuda PAS Malaysia merayu supaya kerajaan membenarkan operasi kedai makan dilanjutkan sehingga jam 10 malam bagi pesanan e-hailing.
Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya berharap operasi kedai makan dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 10 malam.
Katanya, ia berikutan trend penurunan kes jangkitan COVID-19 harian serta peningkatan kadar sembuh sejak kebelakangan ini.
“Dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, rakyat mengalami kesukaran untuk membeli makanan kerana masa operasi bermula jam 8 pagi hingga 8 malam itu amat menyukarkan rakyat, khususnya yang bekerja ketika tempoh ini untuk membeli sarapan dan makan malam.
“Perniagaan kedai makan dan penjaja kecil berkaitan makanan juga terjejas akibat pelaksanaan had waktu ini.
“Justeru, pemuda PAS percaya sudah sampai masanya kedai makan dibenarkan beroperasi untuk pesanan e-hailing dari 6 pagi hingga 10 malam,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, malam tadi.
Katanya, ia sekali gus dapat membantu menyelesaikan isu kekurangan pendapatan pengusaha kedai makan dan penjaja serta masalah kesukaran membeli makanan.
Menurutnya, had operasi kedai makan yang sangat singkat menyebabkan rakyat takut dan risau, lebih-lebih lagi mereka melihat seolah kerajaan tidak ada jalan penyelesaian untuk mengeluarkan negara dari pandemik COVID-19.
“Pelanjutan operasi kedai makan akan dapat mengendurkan kerisauan mereka serta mengurangkan tekanan dalam kalangan masyarakat apabila mereka dapat menikmati sedikit kehidupan seperti biasa sebelum adanya pandemik,” katanya.