KUALA LUMPUR | Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini tampil membuat laporan polis berhubung tular yang mengaitkan beliau dengan isu surat perakuan sumpah (SD) didakwa palsu itu.
Hishammuddin berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sebentar tadi.
“Laporan ini dibuat bagi mengesahkan bahawa surat tersebut; kepala surat, tandatangan dan cop perakuan penerimaan adalah palsu serta telah direka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi facebooknya hari ini.
Beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap dalang di sebalik perbuatan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang yang sewajarnya.
“Saya konsisten – politik fitnah dan politik kebencian tidak sepatutnya terus menjadi amalan politik negara apatah lagi kita sedang berdepan situasi getir ekoran #COVID19 ketika ini,” katanya.
Sejak semalam tular di media sosial mendakwa Hishammuddin mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menawarkan diri sebagai sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, menerusi satu ciapan di Twitter, unit komunikasi Hishammuddin menjelaskan surat tersebut berunsur fitnah dan bertujuan mengelirukan pandangan umum.